Thursday, August 18, 2016

Cerita: PEN PARKER BERMATA EMAS

PEN PARKER BERMATA EMAS
oleh Dato' Haji Muhammad Zakaria

Waktu kecil-kecil sekolah di kampung, kami budak-budak sekolah rendah di kampungku semuanya menulis menggunakan pensil. Aku pun tidak mengerti mengapa cikgu melarang kami menggunakan pen.

Walaupun begitu ada sebahagian budak-budak kampung yang telah naik darjah dua atau tiga, belum pun pandai memegang pensil dengan betul.

Namun ketika itu aku sudah mencuri-curi menulis menggunakan fountain pen Parker bermata emas kepunyaan abah. Pen kesayangan abah ini adalah hadiah persaraannya daripada perkhidmatan SC - Special Constable, seperti polis tentera pada zaman Inggeris. Batang dan penutupnya berwarna hijau tua.

Penyangkutnya berupa anak panah berwarna emas. Matanya juga berwarna emas dibina daripada teknologi kejuruteraan luar negara yang tinggi dan halus. Pen ini akan sentiasa tersangkut di kocek baju abah.

Aku sentiasa mencuri pandang setiap kali abah mengisi dakwat Parker ‘blue black’ yang ketika itu berharga 50 sen sebotol ke dalam pennya. Abah memasukkan mata pen itu ke dalam botol dakwat dan memicit badannya.

Apabila dakwat penuh abah akan mengesat mata pen berwarna emas itu dengan teliti menggunakan kain buruk yang bersih. Abah sangat berhati-hati. Jika dakwat hampir habis abah akan menggoyang-goyangkan pen itu supaya dakwatnya keluar sebelum mula menulis.

Suatu hari ketika abah sedang tidur tengah hari selepas balik dari menoreh dan makan tengah hari, aku mencuri pennya. Aku menjadi sangat bahagia dapat menggunakan sebatang pen berdakwat. Aku rasa lebih dewasa dan terpelajar.

Lama kelamaan aku mula ketagih tabiat mencuri guna pen abah ini. Namun semua hasil tulisan sentiasa aku sorok agar tidak diketahui abah.

Memang sudah perangai budak-budak tidak cermat menggunakan pen tersebut. Mungkin itulah sebabnya cikgu tidak membenarkan budak-budak sekolah rendah menggunakan pen untuk menulis.

Mungkin kerana aku menekan terlalu kuat ketika dakwatnya hampir kering, mata pen itu renggang (kembang). Dakwat langsung tidak mahu mengalir ke atas kertas. Aku panik. Aku pun cuba untuk merapatkan semula mata pen yang renggang itu. Nak guna apa?

Yang ada cuma anak lesung batu emak di dapur. Aku pun bersembunyi di sebalik dinding dapur dan mengetuknya perlahan-lahan. Di situlah berakhirnya riwayat sebatang pen Parker bermata emas abah. Matanya punah habis. Bengkok dan berselisih. Dengan senyap-senyap aku berjingkit-jingkit untuk memasukkannya kembali ke dalam poket baju abah. Ah! Lega.

Sejak hari itu aku menunggu masa dan ketikanya sahaja abah akan menjerit seperti seorang askar Jepun mengangkat sebilah pedang samurai dengan kedua belah tangannya untuk memenggal leher tawanannya.

Aku cuba melarikan diri daripada abah. Bila abah pulang dari menoreh atau pulang dari kedai, aku buat-buat sibuk pergi mandi, mengangkat air dari perigi atau pura-pura tidur.

Namun saat yang menggerunkan itu tidak pernah tiba. Akhirnya aku tidak lagi nampak abah menggunakan pen kesayangannya itu. Sebaliknya aku lihat abah menggantikan sepitan poket bajunya dengan sebatang bolpen biru yang berharga 25 sen sebatang ketika itu. Aku sangat kesal. Mahu menitis air mataku.

“Itulah korban seorang ayah,” fikirku kemudian.

Kemudian emak memberitahuku bahawa abah memberitahunya yang dia nampak aku berjingkit-jingkit memasukkan pen Parker yang telah rosak matanya kembali ke dalam poket bajunya. Dia tidak tidur lena ketika itu. Tapi dia tidak mahu menyergahku. Bertambahlah lagi pilunya hatiku!

Hari ini apabila ada antara anak-anakku yang merosakkan barang-barang penting kepunyaanku, aku menjadi tidak sampai hati untuk menegurnya, betapalah untuk memarahinya.

Seorang anakku menggesel kedua-dua belah pintu keretaku hingga kemek teruk ke pagar batu rumahku waktu mencuri-curi belajar membawa kereta. Betapa tidak, bukan mudah bagi seorang yang baru cuba memandu kereta untuk mengeluarkan kereta secara berundur dari parkir di porch ke jalan sempit di hadapan rumah! Dan dia tidak pernah mengaku kesalahannya itu.

Seorang lagi anakku menghilangkan kamera digital Canon EOS F1-ku dalam majlis keramaian di sekolahnya. Itulah kamera terakhirku. Selepas kejadian itu tugas mengambil foto aku serahkan kepada anak-anakku sahaja. Bukan merajuk dengan kerenah anak-anak tetapi secara kebetulan semua anak-anakku telah besar dan memiliki hobi mengambil gambar serta mempunyai kamera masing-masing.

Seorang anak yang lain pula memandu keretaku hingga minyak hitamnya kering di lebuh raya. Enjinnya punah. Terpaksa diganti dengan enjin baru. Dan aku terpaksa membayar hampir RM12 ribu untuk mengeluarkan kereta itu daripada bengkel.

Aku berfikir, “Semuanya ini mungkin kifarah aku kerana merosakkan pen Parker abah waktu aku kecil-kecil dulu. Aku pasrah dan reda.”

(Sedutan dari bukuku "Chicken Soup KECIL-KECIL CILI API" yang bakal terbit. Tunggu ya!)

SUMBER;
Facebook

No comments:

Post a Comment